PENGENALAN
UPMKB pernah menjadi tuan rumah untuk Festival Tari Borneo Edisi ke – 7 yang mempertandingkan pertandingan tarian kreatif etnik di Borneo. Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak ini telah diadakan pada Oktober 2018 dan disertai oleh 13 kumpulan daripada universiti yang ada di Kepulauan Borneo. Penganjuran program ini mendapat komen dan maklum balas yang amat membanggakan. Berdasarkan kepada pengalaman tersebut, UPMKB berhasrat menganjurkan Festival Tarian Kreatif Etnik Borneo (EthDance) 2023 bagi memberi ruang kepada bakat – bakat belia dalam negeri Sarawak.
Melihat kepada senario ini serta kemampuan yang ada, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) berhasrat untuk menganjurkan Program Semarak Belia Sarawak bagi menyokong dan memastikan dasar pembangunan belia di Negeri Sarawak mencapai objektif dan sasarannya.
Secara amnya, golongan belia memerlukan platform yang sesuai untuk mengasah dan memantapkan aspek – aspek seperti kepimpinan, sukan, perniagaan, kebudayaan dan sebagainya. Penyediaan platform yang meluas dan sesuai dengan kehendak belia adalah penting bagi memastikan golongan belia bersedia untuk mewarisi tampuk pimpinan negara pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, kita tidak dapat lari dari menghadapi masalah sosial yang melanda belia masa kini. Malah, dengan cabaran globalisasi yang ada pada masa kini, ianya sedikit sebanyak mendedahkan golongan belia kepada beberapa masalah yang menjadi isu utama kepada golongan belia antaranya isu peluang pekerjaan, kesihatan, pembangunan bakat dan sebagainya.