PENGENALAN
Islam bukan hanya sebuah agama yang mengatur aspek spiritual dan ibadah, tetapi juga mendorong pengembangan potensi manusia dalam bidang seni, budaya, dan keterampilan yang membawa manfaat serta nilai positif kepada masyarakat. Kesenian Islam telah lama menjadi medium penting dalam menyampaikan mesej dakwah, memperkuat jati diri umat, serta mengekspresikan keindahan dalam batas syariah. Kesenian dalam Islam merangkumi pelbagai aspek seperti seni suara, pertahanan diri, sukan, tulisan dan sebagainya. Jika kita menyelusuri kembali latar belakang kesenian Islam, kita dapat saksikan bahawa nilai kesenian ini telah mula menapak dalam kalangan masyarakat Islam sejak dahulu lagi. Berbeza dengan seni masa kini yang lebih bercorak dan dipengaruhi oleh budaya barat. Namun, kesenian Islam ini juga unik dan lebih kepada penerapan nilai-nilai murni seiring dengan kesucian dan tuntutan agama Islam itu sendiri.
Sejarah membuktikan telah wujud penulisan kaligrafi khat sejak Kerajaan Bani Abbasiyah (750-1258M) yang merupakan salah satu keindahan seni Islam yang semakin menyepi dalam kalangan masyarakat kini. Selain itu, masyarakat Islam di zaman kerajaan Uthmaniyah (1299-1924M) dulu juga mempunyai hiburan tersendiri seperti muzik, nasyid, syair dan sebagainya bertujuan untuk ekspresi sastera, dakwah dan pencatatan sejarah. Rentetan dari perubahan dunia kini, hiburan dalam Islam telah diberi nafas baharu. Hasilnya, muncullah kumpulan-kumpulan yang tampil seiring dengan kerancakan muzik-muzik nasyid dan sebagainya. Kini, nasyid yang dulunya kurang mendapat sambutan telah mengalami anjakan transformasi sehingga terciptanya lagu-lagu bercirikan tradisional dan kontemporari. Malah pada hari ini, dapat kita dengari di corong radio dan tontoni di kaca televisyen persembahan artis tempatan dan luar negara yang menyumbang seni suara dalam genre-genre lagu Pop dan lagu-lagu terkini yang diubah suai dan diselitkan lirik dan ciri-ciri berunsurkan keindahan dan kecintaan Islam. Tidak cukup dengan itu, seni suara dalam Islam juga merangkumi aspek dalam pembacaan Al-Quran iaitu ilmu qiraat. Sirah Islam telah membuktikan kelahiran tokoh-tokoh qiraat seperti Imam Hafs, Ibn Amru dan sebagainya.
Di Malaysia, program sebegini bukanlah satu benda baharu. Malah, program kesenian Islam sebegini sudah menjadi satu program wajib hampir di semua peringkat lapisan pengajian bermula dari sekolah sehinggalah ke institut-institut pengajian tinggi malah di peringkat Negara mahu pun Negeri.
Pada Oktober 2019 dan Ogos 2023, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah menganjurkan iFest2019 dan iFest2023 (Edisi Ke-2). Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan seterusnya bukan sahaja menarik minat penyertaan peserta daripada Sarawak malah juga mampu menarik penyertaan peserta daripada Semenanjung Malaysia dan luar negara seperti Brunei Darussalam. Dari aspek pengisian program, secara amnya ianya terbuka kepada semua masyarakat umum dan tidak hanya memfokuskan kepada penyertaan masyarakat beragama Islam sahaja. Berdasarkan kepada penganjuran iFest sebelum ini, ianya dilihat mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat dan maklum balas melalui soal selidik pasca program mencadangkan untuk dilaksanakan pada masa akan datang.
Menyedari hakikat bahawa kesenian Islam itu perlu dihargai dan ditonjolkan, Pejabat Pengurusan Pelajar, UPMKB sekali lagi berhasrat ingin menganjurkan Festival Kesenian Islam 2025 (iFest2025) (Edisi Ke-3) pada tahun ini. Beberapa aktiviti sama ada berbentuk pertandingan atau bukan pertandingan akan dianjurkan dan boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat.
TENTATIF iFEST2025
Sila klik >>> DISINI
HUBUNGI KAMI
Urus setia
Festival Kesenian Islam 2025 (iFest2025) (Edisi Ke-3)
Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak
97008 Bintulu, Sarawak.
Urusetia & Pegawai Seranta:
- Mohammad Saufi Mohammad Ramli (+6019-2878588)
- Muhammad Iskandar Tunggal (+6011-61188504)
- Veronica Edmund Dana (+6014-899 9923)